Wednesday 6 July 2011

3A MEMBINA AYAT


SOALAN 3 A : MEMBINA AYAT 

1.    Terdapat tiga bentuk soalan yang mungkin dikemukakan.
  • Bina 1 ayat bagi setiap kata
  • Bina 1 ayat bagi setiap kata dalam pasangan kata
  • Bina 2 ayat bagi setiap kata
2.    Jenis-jenis kata yang boleh dikemukakan:
  • Kata ganda
  • Kata yang hampir sama maknanya
  • Kata dasar dan kata terbitan
  • Kata dasar dan kata ganda seluruh
  • Kata homograf
  • Kata terbitan
  • Kata ganda seluruh dan kata majmuk
  • Kata dasar dan kata ganda berimbuhan
  • Kata dasar dan kata majmuk
  • Kata ganda seluruh dan kata terbitan
  • Kata yang berbeza maknanya tetapi hampir sama bunyinya
3.    Panduan markah
·         Satu markah akan diberikan pada ayat yang betul.
·         Setengah markah akan ditolak bagi kesalahan ejaan/ jalan bahasa/ isi yang tidak jelas.
·         Boleh bina ayat dengan menggunakan cakap ajuk. (Ikut peraturan membina ayat cakap ajuk).


SYARAT YANG PERLU DIIKUTI KETIKA MEMBINA AYAT
1.    Jangan bina ayat yang tidak dapat membezakan makna kata yang diberikan
2.    Jangan gunakan pasangan kata yang diberikan dalam satu ayat sahaja
3.    Jangan lakukan kesalahan ejaan atau kesalahan tatabahasa dalam ayat anda
4.    Jangan bentuk ayat yang gramatis tetapi tidak tepat maknanya.
5.    Jangan bina ayat yang tidak logik atau langsung tidak difahami maksudnya.
6.    Jangan jadikan perkataan yang diberi sebagai kata nama khas.
Contoh : Rohani
Kebersihan rohani mencerminkan keperibadiaan seseorang. (Betul)
Rohani menyiapkan sarapan pagi untuk ahli keluarganya. (Salah)
7.    Jangan jadikan perkataan yang diberi sebagai kata cogan kata.
Contoh : Yakin
Setiap pelajar harus menanamkan perasaan yakin dalam diri agar mendapat kejayaan yang cemerlang dalam peperiksaan. (Betul)
Yakin Boleh’ merupakan cogan kata yang sering diwar-warkan setiap kali Menteri Belia dan Sukan memberikan ucapan. (Salah)
8.    Jangan jadikan perkataan yang diberi sebagai kata peribahasa.
Contoh : Ombak
Nelayan tidak dapat turun ke laut pada hari itu kerana ombak terlalu tinggi. (Betul)
“Kalau takut dilambung ombak jangan berumah di tepi pantai”sering ditujukan  kepada peniaga yang tidak sanggup menanggung risiko. (Salah)
9.    Jangan jadikan perkataan yang diberi sebagai kata kata majmuk.
Contoh= Beg
Ida telah membeli sebuah beg yang besar kerana terlalu banyak pakaian yang hendak dibawa pergi melancong. (Betul)
Beg tangan yang dijual di kedai itu terlalu mahal. (Salah)
10.  Jangan jadikan perkataan yang diberi sebagai kata kata ganda.
Contoh = Tidur
Salah satu masalah yang dihadapi oleh pelajar di dalam kelas ialah tidur semasa sesi pembelajaran dijalankan. (Betul)
Ahmad dapat mendengar bunyi tapak kaki adiknya yang lalu kerana pada masa itu dia tidur-tidur ayam. (Salah)
11.  Jangan jadikan perkataan yang diberi sebagai kata kata berimbuhan.
Contoh = Makan
Tina tidak berselera semasa makan  di restoran tadi kerana hidangannya sudah sejuk. (Betul)
Ani memesan makanan untuk dua orang sahaja di warung itu. (Salah)
12.  Jangan masukkan dua ayat yang diuji dalam satu ayat.
Contoh = Mereka
Pereka fesyen itu sedang mereka pakaian untuk dijadikan koleksinya. (Betul)
Mereka berempat telah mereka pakaian untuk model-model yang terlibat dalam pertandingan itu. (Salah)
13.  Jangan buat dua ayat bagi soalan yang hanya memerlukan satu ayat sahaja.
Contoh= Perpaduan
Perpaduan di kalangan ahli perniagaan perlu agar pembangunan di negara ini dapat dipertingkatkan. (Betul)
Rakyat harus mengamalkan hidup bermasyarakat. Ini kerana amalan itu akan mewujudkan perpaduan. (Salah)

FORMULA MUDAH UNTUK MEMBINA AYAT
a) Bila + Siapa + buat apa
b) Siapa + buat apa + di mana
c) Siapa + buat apa + kenapa

Contoh Perkataan dan Ayat yang menggunakan formula:
1. Prasyarat
ayat: Kakak berjaya memasuki pertandingan itu kerana lulus prasyarat yang ditetapkan oleh penganjur pertandingan.
2. Propaganda
ayat: Pendedahan akuan palsu yang dilakukan oleh pemimpin negara itu merupakan propaganda politik yang mungkin akan menarik perhatian media massa.
3. Pascamerdeka
ayat: Pada zaman pascamerdeka, anak-anak bangsa harus mengisi kemerdekaan dengan mempertahankan kemerdekaan negara daripada dijajah semula oleh anasir luar.
4. Dwibahasa
ayat: Ayah menggunakan kamus dwibahasa untuk mencari makna perkataan yang tidak difahaminya dalam bahasa Melayu dan bahasa Inggeris.
5. Anti-Israel
ayat: Satu perarakan anti-Israel telah diadakan di Dataran Merdeka oleh penuntut-penuntut universiti kerana mereka mengetahui kekejaman Israel terhadap keamanan dunia.
6. Antirasuah
ayat: Kerajaan Malaysia menjalankan kempen antirasuah untuk menghapuskan gejala ini sehingga akar umbi.
7. Interaksi
ayat: Pakar psikologi perpendapat bahawa kekurangan interaksi antara anak dengan ibu bapa akan menyebabkan jiwa anak kosong.
8. Insentif
ayat: Pihak sekolah akan memberi wang insentif sebanyak RM100 kepada pelajar yang mewakili sekolah dalam acara sukan.
9. Integrasi
ayat: Pihak kerajaan melancarkan kempen 1Malaysia untuk memupukintegrasi kaum dan membina perpaduan yang utuh dalam kalangan rakyat Malaysia.
10. Intensif
ayat: Pihak sekolah akan menjalankan kelas intensif untuk pelajar yang lemah dalam subjek Sains dan Matematik.
11. Inisiatif
ayat: Kerajaan berharap agar pihak sekolah akan mengambil inisiatif untuk memastikan kebersihan persekitaran sekolah supaya murid-murid tidak diserang wabak demam denggi.
12. Tentatif
ayat: Buat sementara waktu, beberapa langkah tentatif diambil untuk memasukkan sains sepenuhnya ke dalam skop sosiologi ilmu pengetahuan.
13. Senget
ayat: Ayah mengetawakan adik yang memakai seluarnya senget sebelah.
14. Sengit
ayat: Pengumuman semua calon SPM yang mendapat keputusan 9A+ dijanjikan biasiswa JPA akan menimbulkan persaingan yang sengit antara calon SPM.

No comments:

Post a Comment